Istiadat pemakaman Tunku Abdul Jalil

Almarhum telah dimandi dan dikafankan pada 6 Disember 2015 bermula sekitar jam 7 pagi. Keranda jenazah Almarhum kemudiannya diletakkan di tengah-tengah Bilik Singgahsana Istana Besar[4]. Keranda baginda dilitupi bendera Jalur Gemilang dengan topi polis dan pedang di atasnya. Pada jam 9:00 pagi sehingga jam 11:30 pagi, rakyat jelata diberi peluang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum. Pada jam 11:30 pagi sehingga 12:30 tengah hari pula, orang kenamaan diberikan peluang untuk memberikan penghormatan terakhir mereka.

Jenazah Almarhum telah selamat dimakamkan sekitar jam 2:40 petang selepas diarak menggunakan Pedati Diraja dari Istana Besar Johor Bahru[5]. Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim turut mengiringi jenazah Almarhum di atas pedati yang ditarik 10 askar Timbalan Setia Negeri (TSN) sehingga ke Makam Mahmoodiah sejauh tiga kilometer. Bacaan talkin telah disempurnakan oleh Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut.